
SELAIN mempunyai jurugambar rasmi, pelakon jelita Rozita Che Wan turut berkongsi dia membawa cef peribadi ketika bercuti ke luar negara.
Rozita, 45, atau mesra disapa Che Ta berkata ia bertujuan memudahkan dia dan keluarga menikmati hidangan enak tempatan di negara orang.
"Saya tekak Melayu. Jadi, memang kena makan nasi setiap hari. Apabila bawa cef ia memudahkan saya dan keluarga menikmati makanan yang diinginkan.
"Selalunya di luar negara nak cari nasi susah apatah lagi makanan Melayu. Apabila bawa cef tak bermakna saya bawa sekali bahan untuk memasak.
"Sebaliknya, cef saya akan ke pasaraya berdekatan untuk mencari bahan keperluan memasak," katanya kepada Harian Metro.
Che Ta berkata, dia sudah menggunakan khidmat cef berkenaan sejak empat tahun lalu.
"Setakat ini hidangan disediakan menepati cita rasa saya dan keluarga. Lagi pun, dia senang bekerjasama.
"Dalam masa sama dia sudah arif dengan cita rasa dan makanan kegemaran saya.
"Selain itu, saya rasa tidak salah berkongsi rezeki dengan orang lain. Itu lebih baik dan akan dimurahkan rezeki lagi pada masa akan datang," katanya.
Sumber : Mymetro