
PELAKON Zahirah Macwilson menepis dakwaan mengenai dirinya dikaitkan bercinta dengan ahli perniagaan yang dikenali sebagai Nik Iruwan seperti tersebar di internet.
Zahirah, 23, berkata, hubungannya dengan lelaki berkenaan hanyalah sekadar kawan semata-mata dan pelakon Mencintaimu itu idamkan kekasih tinggi lampai.
“Kami tiada hubungan apa-apa selain saya hanya menganggap dia abang dan kawan.
“Saya tak takut pun digosipkan dengannya disebabkan kami memang sekadar kawan.
“Terus-terang, saya lebih sukakan lelaki yang tinggi lampai,” katanya yang ditemui pada pelancaran OPPO R17 Pro oleh jenama pintar global terkemuka OPPO, semalam.
Zahirah juga mendedahkan dia kini terbuka hati menerima cinta baru selepas hubungannya dengan aktor Zul Ariffin putus pada pertengahan Mac lalu.
Menurutnya, dia kini sudah melupakan kesedihan lalu walaupun sebelum ini dia sangat patah hati.
“Permulaan tahun ini agak ‘kasar’ sedikit buat saya, namun kini luka di hati sudah kembali terubat.
“Fokus saya semestinya untuk kerjaya yang mana saya akan sibuk sehingga September tahun depan.
“Insya-Allah saya terbuka hati terima cinta baru, namun buat masa sekarang memang tidak menjalin hubungan dengan siapa-siapa,” katanya.
Sumber : MyMetro