PENYANYI popular, Khai Bahar, 24, akui tidak selesa dengan dakwaan yang timbul berhubung dirinya dikatakan sudah pandai 'demand' harga.

Khai berkata apa saja bentuk kerjasama membabitkan dirinya memang akan diurus penuh oleh pihak pengurusan, NAR Records selepas perbincangan bersama.

“Saya masih lagi dalam proses belajar dan tidak bermakna sudah menang banyak anugerah, saya perlu bersikap 'demand'.


"Saya masih seperti dulu dan sedia berbincang dengan mana-mana pihak yang berminat untuk bekerjasama. Jadi, harapnya tidak timbul lagi dakwaan seperti ini.

“Apa saja tawaran membabitkan saya ditegaskan masih lagi boleh dibawa berbincang. Saya akan mempertimbangkannya terutama berkaitan tanggungjawab sosial sepeti kemasyarakatan dan kemanusiaan," katanya.

Terdahulu, menerusi ruangan gosip Cik Pang disiarkan Selebriti Metro Ahad, penyanyi lagu Bayang dan Luluh ini dikatakan sudah pandai 'demand' dengan meletakkan harga tertentu dan tidak lagi menerima bayaran saguhati untuk bekerjasama dengannya.

Ia berikutan Khai kini sudah menerima banyak anugerah termasuk dinobatkan menang trofi Penyanyi Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) pada Oktober lalu.

Ketua Pemasaran dan Promosi NAR Records, Kamaluddin Kasim juga menafikan dakwaan itu yang dianggap ada maklumat tidak benar.

Katanya, apa saja urusan kerjasama membabitkan Khai memang harus melalui pihaknya terlebih dahulu.

"Kepada pihak syarikat pelancongan terbabit (yang dakwa Khai 'demand' boleh hubungi saya untuk sebarang pertanyaan untuk kerjasama dan berbincang.

"Segala maklumat untuk hubungi saya boleh diperoleh di Instagram (IG) Khai dan saya bersikap terbuka membuat perbincangan bagi menyelesaikan isu ini," katanya.

Menurut Kamaluddin, dengan penjelasan dibuat itu secara tidak langsung dapat menjernihkan situasi yang berlaku sekali gus membersihkan reputasi Khai.







Sumber : MyMetro